Salam Hormat,

DEMIKIANKAH NIKMAT KEMERDEKAAN?
Telah setengah abad engkau kehilangan nama keramatmu Tanah Melayuku. Demikian nikmat bebas merdeka dipaksarelakan anak peribumi pasrah mengulum senyum memang payah merungkai izin pernaungan terjajah secara mutlak tuntas bermaruah kecuali memanfaatkan baikbudi ramahtamah dan hormat takzim Melayu kepada singgahnya tetamu berpatrilah lafaz ikrar hak tuan tanah dan setia tetamu merumah. Demikian nikmat hangat perpaduan didambakan menghulur tangan silatulrahmi penyatuan hasrat turut melebar sayap salam ke timur ke selatan lalu berkongsilah citra persahabatan dijunjung berpayung daulat alu berkongsilah limpahan kekayaan dan kepayahan meski memanjang diulit keraguan demi keraguan fitrah kesetiaan nan mungkin sulit berpanjangan. (ii) Demikianlah hari ini ada hati terguris bibir bergetar dada bergegar kebiadaban memang selalu menyentap rasa terkilan dan nanar. Demikianlah membukit bongkaknya membengkak serakahnya sang penjarah meski ditatang singgahnya menjanjirobekkan warisan peribumi mengubur panji kedaulatan. Demikianlah anak pertiwi mabuk kuasa ikut mencerca sejarahnya sinis celupar menafikan citra perjuangan anak watan mempertahan daulah keamanan melakar peta merdeka, malah menjanjikan pengkisahan semula sejarah negara, semuanya jika selepas pilihanraya beroleh mandat kuasa. (iii) Memang sakit diyakinkan jadi pemberi nikmat hak merakyat pun segera diratah dilapah, dan memang sedih dilekakan menjadi peminta nikmat terbentang milik sendiri pun sukar dijamah dimamah malah perlu bertahun-tahun masih payah dipahatkan malah terungkit dan mahu saja dinafikan atas nama kesamarataan dan keadilan masadepan semudah menafikan hikmah rezeki nikmat kerakyatan percuma dan melupakan perbezaan latar sosio-budaya dan sejarahnya. Memang tidak adil untuk menjadi baik berbudi berhemah kalau tidak untuk dikhianati kerana demikianlah tingkah bangsa penjajah dan penjarah sejak zaman kesultanan Melaka lagi. Tanah Melayuku engkau telah kehilangan nama keramatmu jua maruah sebuah bangsa merdeka berabad dijunjung laksamana Hang Tuah kerana terlalu alpa, baikhati, percaya dan pasrah pada nikmat merdeka dirundingciptakan di meja percaturan sang penjajah dan penjarah pun takpernah setia. ___________________________ - SEORANG AKU
Advertisement