Salam hormat,
UTUSAN yang kubaca pagi ini
mengusik pandang pertama
dan wacana pemikiran massa.
(i)
Survival parti politik menjelang PRU
ditentukan amalan ‘politik baru’
komponennya integriti politik dan governans baru
dilengkapi pemikiran politik progresif
dan inovasi demokrasi.(ii)
Tutup mulut atau berdiam diri lebih baik
daripada berkata tentang
ehwal Islam dan bangsa Melayu
daripada mendedahkan buruk dan aib orang
yang mengeruhkan lagi keadaan
dan masyarakat pun keliru
kerana sifat orang bertakwa itu
menjaga lidah dan perbuatan,
apalagi akal budi orang beriman
yang bertaraf ulama
sering mencari jalan
ke arah kebaikan dan persaudaraan.(iii)
Untuk bersuara
biarlah betul platformnya
dibenarkan undang-undang yang luhur terpelihara
kerana semua rakyat berlindung di bawahnya
di bawah undang-undang yang sama
lalu dipertahankan ketenteraman awam
dan keharmonian hidupnya
demi kepentingan rakyat banyak,
lalu usah pula dikorbankan kepada segelintir pihak
yang bergerak bertindak
di bawah pertubuhan tidak sah
tidak berdaftar.
Kerana kebosanan, atau kesedihan
atau terlalu mengharap
hadirnya politik serba baru dan matang
yang demikian samar berbayang
aku cuma
mengangguk-anggukkan kepala.
_____________________________
- SEORANG AKU
