Rumah > Uncategorized > BEKERJA UNTUK SIAPA ?

BEKERJA UNTUK SIAPA ?

flower-picture-macro-white-rose-darBenarkah kita bekerja demi ibadah kita, untuk diri kita, untuk harga diri kita?  Bukankah kita bekerja untuk orang lain dan kerananya orang itu membayar upahnya kepada kita?

Ya. Benarlah kita ada majikan dan dibayar emolumen kerana khidmat yang kita berikan. Kita perlu mengutamakan pelanggan majikan kita sesuai dengan piagam pelanggan yang menjadi amanah kita. Benarlah kita bekerja bersungguh-sungguh kerana kita diminta berbuat demikian. Tidak ada majikan yang menyenangi pekerja yang melaksanakan kerjanya mengikut citarasanya sendiri, tidak patuh pada prosedur perjawatan, apalagi yang bertentangan dengan visi, misi dan dasar majikan.

Namun majikan tidak dapat mencaturkan semua gerakfikir atau desakhati atau alunan tingkah kita. Itu milik peribadi kita. Majikan bagaikan pengarah atau “pengurus pentas” (floor manager) untuk kita berkarya mengikut skrip yang ditawarkan kepada  dan kita mempersetujuinya untuk berperanan sebagaimana dihasratkan pengarah.  Pengarah memang amat mengalu-alukan pemeran yang berkarya menggunakan pertimbangan kebijaksanaan fikiran, perasaan dan aksi.  Yang penting, apabila kita menerima skripnya, patuhilah – dengan adunan daya kreativiti dan inovatif kita sendiri. Skrip mungkin boleh mengalami perubahan sedikit tanpa mengubahsuaikan aspirasi sang direktor.

Untuk bekerja dan berkarya dengan selesa, rajin, menyeronokkan, bebas daripada tekanan, dan menjadi kreatif dan inovatif, binalah persepsi bahawa kita bekerja bukan untuk (memuaskan hati) orang lain, atau untuk boss kita, walaupun kita berjawatan dan dibayar emolumen oleh majikan untuk kepentingan perkhidmatan.

Jika kita bekerja untuk orang lain, kita cenderung untuk tidak melakukannya sebagaimana kita melakukannya untuk diri sendiri. Bukankah kita melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh untuk kepentingan diri kita, kerana kita menghargai diri kita !

Apabila kita melaksanakan kerja untuk orang lain – kerana mengikut arahan dan kerana terpaksa – kita menjadi tidak seronok bekerja. Kita akan cenderung untuk melaksanakan apa-apa yang diarahkan sahaja.  Kita akan cenderung untuk berkira, bersifat memilih, mula curang, tidak amanah (jujur)  dan sanggup berlaku tidak adil dengan bertingkah untuk tidak melakukan apa-apa yang kita ‘anggap’ tidak termasuk dalam ruang-lingkup arahan pekerjaan kita.

(ii)

Di sekolah, hal ini sangat mudah terjadi. Kita tidak berpenampilan sebagaimana dituntut untuk penjawat awam kerana kita merasakan bahawa etika penampilan yang ditetapkan itu tidak serasi dengan kebiasaan dan imej yang hendak kita pertahankan. Kita merungut, keberatan atau tidak mahu atau malas untuk masuk ke kelas untuk urusan ‘relief’, atau apabila diberi kerja-kerja lain yang kita takrifkan sebagai ‘bukan kerja kita’.

Sebagai guru tingkatan, kita biarkan saja kelas yang diamanahkan kepada kita itu tidak terurus kerana kita mengganggapnya sebagai bukan kerja kita, sebaliknya muridlah yang gagal mengurus kelas mereka sendiri. Sebagai pendukung gelaran pendidik, kita tidak  terfikir untuk mendidik murid dengan membimbing mereka mengurus kelas dengan baik. Kita tidak minat menegur murid-murid  yang melanggar peraturan sekolah walaupun berlaku di depan mata kita –  dengan membisikkan ke hati kita bahawa  mereka bukan murid kelas kita atau tugas itu tidak termasuk ke dalam  spesifikasi kerja kita (ini kerja guru disiplin).

Kita juga sanggup tidak memberikan fokus ketika menghadiri mesyuarat, taklimat dan sebagainya (atau tidakhadir langsung) atau tidak  mahu menguruskan kegiatan kelas tambahan atau kokurikulum pada hari sabtu kerana hari sabtu bukan hari bekerja walaupun kita dikehendaki berbuat demikian.

Kita mula meyakinkan diri bahawa kita tidak perlu sangat memenuhi keinginan atau arahan orang lain.  Malahan kita sanggup meremehkan perkara yang kita anggap kecil dan tidak penting untuk kita, walaupun perkara kecil itu sebenarnya besar implikasinya – tidak menghantar buku persediaan mengajar pada waktunya atau tidak menandatangani buku kehadiran pada waktunya! Betapa naifnya kita.

Demikianlah. Kita menjalani episod membina persepsi sendiri tentang ruang-lingkup kerja kita untuk disesuaikan dengan selera kita!  Kita mula pentingkan diri kita sahaja  kerana tidak mahu bersusah-susah atau menyusahkan diri sendiri :  “Yang ni tak penting, hantar lewat pun tidak apa” atau  “Yang aku buat ini bukan kerja aku. Kerja orang lain.  Untuk orang lain. Peduli apa dengan orang lain!…” Kita hanya patuh apabila kita khuatir dikenakan tindakan tatatertib. Kita hanya patuh apabila kita ada kepentingan diri. Akhirnya kita menjadi sombong dan tidak sedar diri… lupa dengan hakikat keberadaan kita dalam organisasi kita.

(iii)

Kita bekerja untuk diri sendiri. Untuk diri sendirilah kita mempersembahkan kepakaran (kemahiran) yang kita miliki, memanfaatkan minat mendalam, merancang dan menyusun-atur masa bekerja sebaik mungkin, terus belajar untuk menambah (meningkatkan) kehebatan diri, dan memberikan prestasi (sumbangan) setimpal dengan ekspektasi (the ultimate expectation) dan keyakinan yang diberikan kepada kita, dan kemudiannya memperoleh keseronokan dan kepuasan bekerja!

Jika kita sendiri tidak seronok dan tidak puas hati dengan kerja kita, tentulah kita tidak dapat menyeronokkan dan memuaskan ‘hati’ majikan dan organisasi yang mengharapkan prestasi (sumbangan) kita.

vaiow-small-pMalulah kita kalau untuk diri kita sendiri pun kita gagal memberikan yang terbaik. Dalam konteks inilah, kerja kita telah menjadi harga diri kita!

Categories: Uncategorized
  1. Tiada komen.
  1. No trackbacks yet.
Anda mesti log masuk terlebih dahulu untuk mengirim komen.