Memahami Diri Sendiri
Sejak kebelakangan ini, banyak yang menghimpit ruang fikirku. Semakin mendekat disember, terasa begitu banyak yang belum dapat aku bereskan di lingkungan kerja. Membentangkan kisah transformational leadership kepada kumpulan think tank, merangka persiapan menjelang sesi persekolahan 2010 yang perlu diserasikan dengan keperluan SKPM, SPSK, pemerkasaan instruksional dan penerapan transformasional, mencongak prestasi akademik murid-murid yang berdepan PMR, SPM dan STPM, mencanai program ’siswa’ pra-U ke arah persediaan ke universiti, ‘hutang’ resensi buku kepada Ruziyah…[dan sebagainya...]
Pun aku bersyukur. Komitmen pasukan pengurusan sentiasa berterusan, meskipun kadang-kadang kelihatan tidak terolah oleh rembesan hujan tugas yang tak henti-henti. Begitulah rutin penjawat awam di sekolah. Aku tidak risau tentang komitmen rakan-rakan sekerja – Majlah, Nihayatun, Warda, Sukur, Rubiah, Hasnah, Ruziyah, Muslimah, juga Sanisah, Surieyani… (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka antara lipas kudung yang kerapkali terusik oleh rasa ‘bimbang dan risau’ tentang kerja tidak mencapai tahap yang diharapkan.
(ii)
Dulu-dulu, aku memang peminat puisi. Dua kuntum puisi berikut ini antara yang kerap bermain-main di bibirku. Bait-baitnya amat aku senangi. Sejak puluhan tahun lalu.
Puisi 1
“Kata-kata hanya angin yang mendesir
ketika hujan lebat
kita pun berpaling lalu menadah tangan,
Sesungguhnya amat payah bagi kita
menanggung sebanyak rahsia.
Angin hanya kata-kata yang tak terucapkan
ketika kita sama-sama menduga
hari siang”.
(MHI)
Puisi 2
lirik abadi milik murni
kasih putih selasih wangi
matari malam purnama pagi
alam pualam sarat misteri.
simponi cinta di lidah pawana
simponi cinta kudus wajah
simponi kasih di mata waktu
simponi kasih di dadaku.
(KEMALA)
Memang nyata bahawa bicara, doa, cinta, kasih sayang, dan metafora alam, angin, hujan, mentari, siang, malam banyak menyulami kehidupan kita dalam merungkai rahsia alam dan penghuninya. Dan memang sesungguhnyalah tidak mudah membaca dan memahami “makhluk bernama manusia” di luar diri kita. Kita hanya mampu mentafsir dan merungkai misteri di depan kita seadanya. Tepat tidaknya bukan sangat menjadi pertimbangan. Bukankah kesempurnaan itu sesungguhnya bukan milik kita?
Justru baca dan fahamilah diri sendiri. Bina kekuatan untuk belajar memperbetul apa yang khilaf. Kita tidak perlu banyak bermenung, rasa gusar (atau bimbang atau runsing) dan bertingkah sangat dalam meramal keberhasilan usaha mendepani karenah yang lain. Kita mungkin melakukan kesilapan dalam bertindak, dalam menyelesaikan masalah dan dalam membuat keputusan. Tidak mengapa. Yang penting keikhlasan.
Di sekolah, kita semua memiliki visi, misi dan hala tuju yang sama, cuma berbeza citarasa, emosi dan strategi. Kita memang menduga hari siang, bertemankan angin dan hujan. Dalam melaksanakan tanggungjawab, kita pertimbangkanlah faktor keperluan dan kemampuan. Yang dahulu didahulukan. Yang utama diutamakan. Yang betul-betul udah tidak boleh ditangani, biarkan saja Pengetua pening kepala (?)…
Jadi, jalani saja seadanya. Semampu-mampunya tapi sebaik-baiknya. Dengan pertimbangan selayaknya. Dengan sekulimat kebijaksanaan yang ada. Dengan jiwa rela tulus kudus. Dengan kudrat terlarat. Dan dengan senyum menguntum di wajah dan di hati – kerana senyum tawa itu penawar dukalara.

