Arkib

Archive for September 2009

Kesukaan melanggar undang-undang

September 27, 2009 awayzha Tinggalkan komen

pic_hari_rayanewsSalah satu fenomena menarik tetapi ganjil dan menakutkan dalam budaya pemanduan rakyat Malaysia ialah kesukaan pada pelanggaran undang-undang di jalan raya.

Saban tahun kita menghitung angka kemalangan jalan raya yang amat tinggi di negara kita (tertinggi jika dibandingkan dengan negara lain yang lebih maju dan lebih banyak kenderaannya – bagi 10,000 kenderaan, kadar purata kematian di jalan raya Malaysia ialah 3.7,  Indonesia 2.6, Singapura 2.5, Filipina 2.1, Brunei 1.8, Amerika Syarikat 1.7, Australia 1.1).

Perangkaan musibah di jalan raya ketika Ops Sikap juga jelas tidak memperlihatkan pola perubahan sebagaimana diharapkan, dengan data Ops Sikap Pertama (2001) hingga ke Ops Sikap ke-20 (2009) menunjukkan angka kemalangan 9014-15176, angka kematian 168 – 241 dan purata kematian sehari 11.2-18.7.

Rasanya angka sedemikan rupa “memeningkan kepala” pihak kerajaan, penguatkuasa undang-undang di jalan raya dan rakyat yang perihatin dengan musibah ini. Tidak hairanlah jika Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara meluahkan rasa kecewa ekoran peningkatan kes kemalangan maut semasa Ops Sikap ke-20 yang lalu (Utusan Malaysia Online).

Kenyataan beliau sesungguhnya membenarkan hakikat kehadiran fenomena kesukaan pada pelanggaran undang-undang ini apabila beliau menyatakan bahawa;

  • “Di Malaysia, walaupun hukuman mati sekalipun (dikenakan), pengguna jalan raya akan tetap melanggar undang-undang.”
  • Antara si pelaku kesalahan itu juga adalah segelintir pemimpin politik – yang sepatutnya menunjukkan kepimpinan melalui teladan, dengan mematuhi undang-undang agar menjadi contoh kepada orang lain.”
  • Di Malaysia, hukuman mati sekalipun, dia orang tak kisah, dah sikap mereka langgar undang-undang. Sikap ini yang kena betulkan.”

  • Polis menggerakkan pelbagai cara untuk menyedarkan orang ramai, namun mereka tetap melanggar undang-undang semasa di jalan raya.
  • “Sampaikan kita terpaksa melakukan ujian air kencing terhadap pemandu kenderaan awam bagi memastikan mereka bebas (daripada) mengambil dadah”.
  • Penunggang motosikal pula gemar memotong kenderaan lain sesuka hati manakala pemandu kenderaan berat pula tidak menghormati orang lain.
  • “Saya rasa masyarakat kita ini seronok kalau tak patuh undang-undang.”

Malahan beliau turut meminta ibu bapa supaya menerapkan pematuhan undang-undang kepada anak-anak mereka termasuk semasa di jalan raya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebutkan tentang perlunya pelaksanaan kaedah pemantauan menyeluruh yang lebih berkesan dan tindakan penguatkuasaan yang menimbulkan perasaan takut dalam kalangan pengguna jalan raya sebagai langkah mendepani pengguna jalan raya yang cuai dan melanggar undang-undang sedia ada. Langkah alternatif membatalkan lesen memandu dan menjatuhkan hukuman segera kepada pesalah lalu lintas juga perlu dipertimbangkan.

Tun Dr. Mahathir Mohamad pula menyebutkan tentang hukuman berat sebagai pengajaran – dengan menggantung (menarik) lesen memandu bagi tempoh sekurang-kurangnya 3 tahun, dan hukuman lain yang lebih berat jika yang dibatalkan lesennya mengingkari hukuman itu.  Cadangan NGO supaya pemandu yang bersalah dikenakan hukuman khidmat masyarakat yang disusuli oleh kursus pemanduan semula juga wajar diberikan perhatian.

(ii)

Berdasarkan pernyataan umum pelbagai pihak, kita dapat memahami perihal kemalangan jalan raya di Malaysia  seperti berikut:

  • Punca kemalangan jalan raya yang utama ialah sikap pengguna jalan raya (tidak mematuhi undang-undang);
  • Pemandu kenderaan berat, pengangkutan awam (terutamanya bas) dan motosikal paling tidak berdisiplin berbanding pemandu kenderaan lain;
  • Punca lain – keadaan kenderaan dan keadaan jalan raya itu sendiri;
  • Terdapat 377 lokasi berbahaya yang telah dikenalpasti di seluruh negara sebagai lokasi kemalangan jalan raya paling kerap;
  • Jalan persekutuan terbukti menyumbangkan kadar kemalangan lebih tinggi berbanding lebuh raya, jalan negeri dan jalan lainnya.

(Apakah langkah yang telah diambil pihak berkuasa di lokasi berkaitan, selain PDRM, JPJ & MKJR, dalam menangani kemalangan di jalan persekutuan ?);

  • Kerajaan memang telah melakukan “yang terdaya” dalam upaya membanteras kemalangan jaran raya melalui usaha bersepadu kaedah perundangan, kempen demi kempen dan langkah penguatkuasaan undang-undang melalui PDRM, JPN dan MKJR;
  • Pemandu kenderaan akan berdisiplin di jalan raya hanya apabila ada operasi pemantauan pihak berkuasa.

(Nota : kehadiran polis trafik dan anggota biasa polis di 377 lokasi dikenalpasti cenderung berlaku kemalangan mampu mengurangkan kadar kemalangan di kawasan tersebut, namun meningkat di kawasan lain yang kurang diberikan tumpuan – kenyataan Ketua Polis Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof).

(iii)

Apabila Ketua Polis Negara turut meminta ibu bapa supaya menerapkan pematuhan undang-undang kepada anak-anak mereka termasuk semasa di jalan raya, kita tidak dapat mengelak daripada mengaitkannya dengan peranan pendidikan – formal dan tidak formal. Sekolah juga berperanan dalam membantu menjayakan misi penerapan nilai pematuhan pada undang-undang.

Soalnya bagaimana?

Sejak berpuluh tahun lalu, kita telah menyaksikan fenomena kesukaan pada pelanggaran undang-undang di jalan raya ini.

Pergilah ke seluruh pelusuk kampung dan taman perumahan di negara kita – kita telah lali dengan pemandangan pemandu motosikal tanpa mengira usia tidak bertopi keledar, atau pemandu (semua jenis kenderaan) tanpa mengira usia begitu selesa meredah masuk laluan sehala (No Entry). Dan sebahagian besarnya juga tanpa lesen memandu yang sah, dengan kenderaan  tanpa insurans dan tanpa cukai jalan yang melayakkan kenderaan itu berada di atas jalan raya.

Mereka ini adalah ibu bapa, abang dan kakak kepada murid-murid sekolah. Mereka ini adalah juga murid-murid sekolah yang diberikan ‘lesen memandu’ oleh ahli keluarga mereka sendiri.

Kita juga boleh memantau keadaan penggunaan kenderaan oleh murid-murid ke sekolah. Mereka berkenderaan ke sekolah tanpa helmet, tanpa lesen memandu, dan dengan kenderaan tanpa cukai jalan. Dapatan soal-selidik guru-guru turut membuktikan bahawa sebilangan ibu bapa merestui tindakan anak-anak mereka ini atas alasan kesukaran mendapatkan pengangkutan awam atau desakan kuat anak-anak untuk membawa kenderaan sendiri ke sekolah. Mereka rela meletakkan kenderaan di luar premis sekolah kerana pihak sekolah terpaksa tidak membenarkan mereka yang tidak layak memandu ini meletakkan kenderaan mereka di dalam kawasan sekolah kerana kegagalan mematuhi undang-undang ini!

Jadi kenyatan Ketua Polis Negara tidaklah menghairankan sangat kerana mereka yang menjadi pengguna jalan raya sebagai pemandu motosikal dan pemandu kenderaan berat ini (juga apa saja kenderaan) sebenarnya sudah amat terbiasa dan selesa dengan tabiat tidak mematuhi undang-undang di jalan raya.  Ini amalan warisan mereka.

Isunya bukan setakat mereka tidak terdidik (atau tidak mahu dididik) untuk menjadi pemandu berhemah. Isunya bukan setakat mereka telahpun  memiliki “lesen membunuh” di jalan raya sejak kecil lagi.

Isunya juga ialah pengguna jalan raya ini terlalu memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan sepanjang masa.

Isunya juga ialah di manakah pemantauan dan penguatkuasaan ketika mereka baru berjinak-jinak dengan kesukaan melanggar undang-undang ini.

Isunya juga ialah apakah yang dipelajari di pusat belajar memandu sehingga ilmu diajarkan seolah-olah tidak sempurna.

Isunya juga ialah di manakah percontohan, autoriti, sensitiviti dan kebijaksanaan ibu bapa dalam menangani pola perlakuan sumbang anak-anak mereka sendiri ketika di jalan raya.

Jadi isunya ialah bagaimana mendepani semua isu ini.

vaiow-small-pSemoga dapat diupayakan pendekatan ke arah “merevolusikan” daya fikir, daya rasa dan sensitiviti pengguna jalan raya  kita supaya kembali siuman di jalan raya – seronok kerana mematuhi undang-undang !

SMS Aidilfitri…

September 20, 2009 awayzha Tinggalkan komen

BAHAGIAN 1 : SMS RAYA…

[ Semangat persaudaraan,  hubungan silatulrahmi dan kemaafan (saling bermaafan) merupakan antara tagline popular dalam mengungkapkan makna kebesaran hari raya.  Kutitipkan (pilihan) untaian SMS yang kuterima sempena Aidilfitri kali ini untuk tatapan bersama. ]

———–

Jika kesilapan semalam belum terampun, maafkanlah.
Jika kesilapan hari ini menyakitkan, lupakanlah.
Jika kesilapan esok mendatang, janganlah dibawa ke akhirat.

Sejuta kemaafan dipohon
sempena Aidilfitri yang bakal menjelang.

Selamat menyambut hari raya aidilfitri,
maaf zahir dan batin.

(Zaiton Idris)

(ii)

Kadangkala hati berburuk sangka.
Langkah membekas lara.
Kata tidak terjaga.
Tingkah menoreh luka.

Andai jari takkuasa berjabat,
setidaknya kata masih dapat terungkap
“Setulusnya mohon maaf zahir bathin”.

Salam Aidilfitri.

(Faridah Hanim Achok)

(iii)

Mata kadang salah melihat.
Mulut kadang salah berucap.
Hati kadang salah menduga.
Layanan kadang tak mesra.

Mohon kemaafan segala kesalahan yang pasti ada.
Salam Aidilfitri.

(Hamzah A. Rahman)

(iv)

Tunggu-tunggu rayo dah dokek
bakar lomang robuh ketupek
Nak anta kad rayo da tak sompek
anta SMS jo yang copek.

Solamat arie rayo maaf zahir batin

(Nan Shain)

(v)

Kok dilipek sebosar kuku
Kok dibontang sebosar alam
Kok ilang dicaghik
kok hanyut dipinteh
kok tonggolam disolam
datang biarlah nampak muko
kok poie biarlah nampak blakang
jauh diimbau dokek digamit
sountai salam sojambak kato
dogup bicagho mongusik ghaso.
maaf den pinto seikhlas jiwo
kok jauh didokek an
ingek sentiaso di ingatan tak ponah dilupo.

Selamat hari rayo idil fitri, somugo borbahghio.

(Zubir Mohamad)

(vi)

Melawak tak selalu tapi mesra,
kasih tak dalam tapi kekal,
senyuman tak manis tapi ikhlas,
hati tak rindu tapi teringat,
mesej tak kerap tapi ingat.

Selamat menyambut aidilfitri. Maaf dipohon zahir dan batin.

(Engku Ainun Fadzilah)

(vii)

Walau langkah tak bertemu,
tangan tak berjabat,
ucap tak terdengar,
mata tak bertentang,
mohon maaf segala kesilapan.

Kerana ada tikanya
mata silap memandang,
telinga salah mendengar,
lidah terlanjur berkata-kata,
hati tersalah menduga.

Salam aidilfitri maaf zahir dan batin.

(Hamid Daud)

(viii)

Semoga pintu syurga kekal terbuka,
pahala berganda-ganda.

Semoga pintu taubat kekal terbuka,
dosa dapat dihapuskira.

Fajar Syawal terusan menjelma,
bersyukur dapat mengucapkan
sejuta keampunan sejuta kemaafan,
zahir yang sentiasa alpa,
batin yang sentiasa bernoda,
harapan silih padam menyala,
pada-Nya maha mencipta maha penganugerah masa
padamu saudara sesyurga,
Salam aidilfitri, maaf zahir batin.

(Zulkifli Mahmud)

(ix)

Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi
dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa
dalam kelembutan lidah ada juga keterlanjuran kata
dalam gurau dan senda tentu ada khilaf dan dosa.

Mohon maaf di atas segalanya.
Selamat hari raya aidilfitri, minal aidin wal fa’izin,
mohon maaf zahir dan batin.

(Shakirin)

(x)

Pejam celik pejam celik
dah 30 ari puasa
makin dipejam celik
makin banyak salah dan dosa.

Sementara masih celik
banyak-banyaklah buat pahala
sebelum pejam tak celik-celik.

Harap maaf jika tersalah kata.

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf zahir dan batin.

(Warda Ismail)

(Terima kasih kepada rakan-rakan pengirim SMS)

—————————————————————

BAHAGIAN 2 : LAWAK PAGI RAYA…

[ Sekadar ikut menyerikan senyuman di pagi raya... ]

Kisah 3

Ali dan Abu baru pulang dari bandar. Untuk sampai ke kampung, mereka terpaksa melalui jalan pintas bersebelahan sebuah kawasan perkuburan.

Hati mereka berdebar-debar ketika melalui kawasan perkuburan itu dan dalam sayup-sayup malam mereka terdengar bunyi ketukan dari kawasan perkuburan itu.

Mereka memberanikan diri untuk melihat dari mana datang bunyi itu. Dengan perlahan-lahan mereka menghampiri kawasan kubur dan ternampak seorang tua mengetuk batu nisan menggunakan tukul besi dan pahat. Dalam keadaan agak gelap itu, orang tua itu tekun mengukir sesuatu di atas batu nisan.

Ali dan Abu bersuara: “…Ingatkan pakcik ni hantu tadi, buat kami terkejut aje”.

Sambil merapati orang tua itu mereka bertanya: “Apa yang pakcik buat malam-malam buta dekat kubur ni??”

Tiba-tiba lelaki tua itu menjawab dengan marah: “Bodoh!! Dia orang salah eja nama aku!”

HASSAN,
Gombak.

(Dipetik daripada “Berita Harian”, 20.09.2009)

…………………………………………….

- SEORANG AKU

vaiow-small-p

Categories: Uncategorized

Salam Aidilfitri…

September 20, 2009 awayzha Tinggalkan komen

kad-selamat-hari-raya-1428

SALAM AIDILFITRI

untuk
keluarga + sanak saudara
sahabat handai rakan taulan
+
semua guru dan staf sokongan
SMKPG (2)
MAAF ZAHIR & BATIN

&

aidilfitri8

Semoga aidilfitri mulia ini
memperkukuh-teguh silatulrahmi
lewat kesejahteraan berpanjangan

daripada
SEORANG AKU

Categories: Uncategorized

Senandung Rindu

September 19, 2009 awayzha Tinggalkan komen

white-rose-flowerBertemu dan berpisah memang lumrah kehidupan. Bentuknya pun pelbagai, termasuklah persaraan. Dan selalunya juga tanpa pilihan – kerana takdir penentu kelangsungannya. Yang pasti, kedua-duanya menghadiahkan nostalgia – kenangan pahit manis kebersamaan. Dan kerinduan.

Demikianlah dalam kesibukan, sesekali terasa rindu juga kepada rakan yang telah bersara. Disempatkan juga merisik khabar lewat sms atau panggilan telefon, atau kunjungan ’spot check‘ tanpa dirancang. Bahang kehangatan persahabatan masih tetap terasa lewat bualbicara, meski nadanya terkadang berbeza – oleh muzik latar rutin kehidupan yang telah berbeza. Begitulah, nikmat persaudaraan dan persahabatan terasa menjadi lebih bermakna setelah terpisah dan lama tidak bertemu.

Apa-apa pun, kita perlulah bersyukur kerana pertemuan dan perpisahan itu juga sesungguhnya menghadirkan pengalaman berharga untuk dikenang, dikongsi, dan dibicarakan sebagai wahana pematangan diri.

(ii)

Dalam gelanggang pekerjaan, khususnya dalam lingkungan komunikasi dengan majikan dan  rakan sekerja, hilai tawa dan senyum ramah, bertegur sapa atau bermasam muka, (atau kadang-kadang bertengkar gile) memang menjadi penyeri pertembungan karyawan atau pekerja pelbagai ragam. Ada yang bersahaja dan menerima baik setiap yang tidak menyenangkan. Ada yang terasa tetapi masih mampu menyungging senyuman. Ada yang terguris rasa memendam duka, dan ada yang menjadi stress dan murung sentiasa.

Dalam konteks ini, mahu atau tidak mahu, kita perlu belajar menerima kenyataan bahawa pertembungan kepelbagaian ragam itu menjadi perencah kehidupan, termasuk dalam kehidupan berorganisasi. Yang penting, walau bagaimanapun sifat ragamnya, kehadiran setiap individu dalam setiap organisasi amatlah besar fungsi dan manfaatnya. Amat penting juga kita menghargai semua orang, dan belajar memahami dan menerima keragaman itu seadanya.

Maka malanglah kalau pola perhubungan sesama rakan sekerja kita menjadi tidak harmonis dan tegang sentiasa kerana kita gagal menerima ragam orang lain, malahan gagal juga menangani ragam kita sendiri – lalu kita membenarkan rasa tersinggung atau amarah kita terus membara berpanjangan – dan menyebabkan kita juga terus menerus menjadi tidak selesa. Apalagi kalau yang tidak kita senangi itu majikan kita sendiri. Yang malang bukan saja diri kita, tetapi juga rakan sekerja kita dan organisasi tempat kita bekerja. Rasanya, ini bukanlah ciri baik pekerja yang memahami erti kehadirannya dalam berorganisasi.

Kita perlu menyedari bahawa apa-apa pun bentuk penerimaan kita – response (positif) atau react (negatif) terhadap keragaman dalam kehidupan pekerjaan kita – pada prinsipnya, kita perlu menerima hakikat bahawa kita wajib melakukan yang terbaik dalam melaksanakan pekerjaan kita. Kewajiban itu mewajarkan kita mengetepikan sebarang sentimen peribadi untuk menjadikan pertemuan dan perpisahan sesama kita dalam kapasiti pekerjaan kita itu benar-benar memanfaatkan kita – menjadi insan yang matang!

Bukankah ragam manusia itu tercipta oleh pengukuhan pengalaman-pengalaman pendidikan secara peribadi, rasmi dan tidak rasmi, yang dilalui setiap insan sejak kecil lagi? Jadi, untuk mengubah ragam yang tidak serasi dengan keperluan komunikasi berkesan tidak semudah diharapkan.

Jadi…. belajarlah menjadi positif dan responsif dalam berkomunikasi. Belajarlah memahami dan menerima perbezaan. Ragam diri yang tidak sihat kita perbetulkan dengan saling menegur secara berhemah dan bermanis muka, dan dengan muhasabah diri. Belajarlah memaafkan -  saling memaafkan, kerana itulah juga kata keramat yang terucapkan saban tahun setiap kali lebaran menjelang – kemaafan!

———————–

[... dan terlanjur berbicara soal kemaafan, kebetulan sebentar tadi, ketika subuh hening melabuhkan tirainya, kuterima SMS daripada Syakirin - PPDPG ;

Dalam kerendahan hati ada ketinggian budi
Dalam kemiskinan harta ada kekayaan jiwa
Dalam kelembutan lidah ada juga keterlanjuran kata
Dalam gurau dan senda tentu ada khilaf dan dosa...
MOHON MAAF DI ATAS SEGALANYA...

Selamat Hari Raya Aidilfitri, minal aidin wal fa'idzin, mohon maaf zahir & bathin.

Untuk Syakirin, terima kasih]

(iii)

Memang sejak akhir-akhir ini aku kerap “merenung” soal memaknakan kehadiran – bertemu dan berpisah. Soal kenangan. Soal memaafkan. Soal harga sebuah senyuman. Bunyinya sentimental.

Rupanya aku jadi sentimentalis, tapi dalam perspektif yang mewajarkannya. Mungkin kerana aku terusik oleh dendangan sebuah lagu lama, lagu evergreen Tetty Kadi, atau dalam versi lebih segarnya nyanyian Broery Marantika. Lagu “Senandung Rindu” .

Kunyanyikan lagu untukmu
lagu senandung rindu,
lagu kenangan masa lalu
waktu kaumasih disampingku.

Lagu ini lagu kenangan
yang takkan kulupakan.

Setiap waktu akan kunyanyikan
lagu kenang-kenangan,
serasa engkau menemani
menyanyikan lagu ini.

Semoga senikata lagu ini dapat mendekatkan penghayatan kita kepada kebesaran nilai sebuah pertemuan dan perpisahan.

Semoga kehadiran kita dalam organisasi yang kita naungi bersama ini benar-benar dapat memanfaatkan magnet pertemuan dan perpisahan (dengan rakan-rakan sekerja kita) sebagai mekanisme memperbaiki pola komunikasi dan menghargai semangat persahabatan dan setiakawan,  kerana dengannya sajalah kita belajar mendewasakan diri dan menjadi benar-benar matang.

vaiow-small-pSenandung Rindu
Untukmu
Senandung Rindu
Untukku
Seorang Aku – menjelang perpisahan!


Categories: Uncategorized

Kerja Itu Ibadah

September 13, 2009 awayzha Tinggalkan komen

flower-picture-macro-white-rose-darKita kerap mendengar banyak orang bercakap tentang bekerja sebagai suatu ibadah. Pengungkapan konsep ini merupakan manifestasi keperluan menjalankan kewajiban bekerja secara bertanggungjawab, bersungguh-sungguh, jujur dan ikhlas.

Kerja adalah kewajiban. Itu juga tuntutan agama. Setiap orang wajib bekerja untuk memenuhi tuntutan keperluan diri, keluarga dan masa depan.  Kepada majikan, ungkapan itu tentunya hadir daripada keinginan untuk melihat setiap pekerjanya melakukan kerjanya dengan bersungguh-sungguh, sebaik mungkin, sejujur mungkin dan seikhlas mungkin. Nilai produktiviti ada di situ.

Mana mungkin seseorang itu bermain-main dalam beribadah! Kecuali…

Dalam berorganisasi di tempat kerja, pekerjaan kita bukan sahaja memberi faedah kepada diri kita, tetapi juga mendatangkan manfaat kepada organisasi kita dan kliennya.  Kita akan mematuhi setiap syarat, arahan, garis panduan, prosedur dan sebagainya untuk memastikan kerja kita menepati piawai yang ditetapkan majikan atau organisasi kita.

Dengan demikian, setiap syarat, arahan, garis panduan, prosedur dan sebagainya perlu dilihat dalam perspektif yang betul dan positif sebagaimana kita akur pada tuntutan ibadah. Usah pandang remeh padanya – walau semudah atau sekecil mana bentuk tugasnya. Ini soal kepatuhan.

Usah melihat arahan sebagai arahan, tetapi lihatlah sebagai suatu mekanisme mengungkapkan tanggungjawab memberikan persembahan yang terbaik untuk imej diri sendiri sebagai pendukung organisasi yang bijaksana dan berwibawa. Malahan ini juga membentuk imej organisasi, sesuatu yang kerap dilupakan oleh banyak pekerja. [Pekerja yang tidak berfikir atau malas berfikir, tetapi tidak pula lupa untuk berfikir fasal ganjaran setiap akhir bulan..., walaupun kerjanya mungkin menjadi tidak setimpal dengan ganjaran diperoleh kerana ketidakpatuhannya.]

Usah hanya melaksanakan arahan, tetapi laksanakanlah tugas dan tanggungjawab mengikut pertimbangan keperluan setiap arahan dan tugas itu sendiri. Yang tersirat itu lebih penting daripada yang tersurat. Setiap bidang tugas perlu kita garap, halusi dan cermati kerana kecekapan proses pelaksanaannya dan keberhasilan tugasan tersebut merupakan sentuhan nilai peribadi kita – positif, pro-aktif, kreativiti, menyayangi kerja dan kepuasan bekerja – semuanya ke arah menghasilkan yang terbaik untuk organisasi dan diri kita sendiri. Itulah nilai kualiti peribadi individu yang diingini majikan. Itulah natijah prestasi perkhidmatan kita. Itulah nilai harga diri kita. Dan itulah nilai ibadah kita.

“You never need permission to do great work. Wherever you work, whomever you  work for, management expects that you will always use your own best judgement and effort to do what needs to be done for the organization to be successful.

(Please Don’t Just Do What I Tell You ! – Bob Nelson)

Bukankah dalam beribadah, kita juga tidak perlu minta izin sesiapa untuk melakukannya dengan sebaik-baiknya? Dalam bekerja juga demikian. Ya. Tidak perlu meminta izin untuk melaksanakan kerja yang hebat. Izinkan diri sendiri untuk jadi hebat. Yang penting, kita seronok bekerja, menyemarakkan dan memakmurkan seluruh lingkungan kerabat kerja kita, menuntaskan ekspektasi majikan dan organisasi,  menggembirakan dan menjadi kebanggaan mereka, dan akhirnya menjadi kebanggaan diri kita sendiri.

vaiow-small-pDemikianlah, meskipun kita bermajikan dan berstatus pekerja, kita sesungguhnya telah bekerja untuk diri kita sendiri, untuk imej, nama baik dan harga diri kita sendiri.  Kesemuanya demi ibadah kita sendiri. Baik kerja kita baiklah ibadah kita!

Categories: Uncategorized