Salah satu fenomena menarik tetapi ganjil dan menakutkan dalam budaya pemanduan rakyat Malaysia ialah kesukaan pada pelanggaran undang-undang di jalan raya.
Saban tahun kita menghitung angka kemalangan jalan raya yang amat tinggi di negara kita (tertinggi jika dibandingkan dengan negara lain yang lebih maju dan lebih banyak kenderaannya – bagi 10,000 kenderaan, kadar purata kematian di jalan raya Malaysia ialah 3.7, Indonesia 2.6, Singapura 2.5, Filipina 2.1, Brunei 1.8, Amerika Syarikat 1.7, Australia 1.1).
Perangkaan musibah di jalan raya ketika Ops Sikap juga jelas tidak memperlihatkan pola perubahan sebagaimana diharapkan, dengan data Ops Sikap Pertama (2001) hingga ke Ops Sikap ke-20 (2009) menunjukkan angka kemalangan 9014-15176, angka kematian 168 – 241 dan purata kematian sehari 11.2-18.7.
Rasanya angka sedemikan rupa “memeningkan kepala” pihak kerajaan, penguatkuasa undang-undang di jalan raya dan rakyat yang perihatin dengan musibah ini. Tidak hairanlah jika Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara meluahkan rasa kecewa ekoran peningkatan kes kemalangan maut semasa Ops Sikap ke-20 yang lalu (Utusan Malaysia Online).
Kenyataan beliau sesungguhnya membenarkan hakikat kehadiran fenomena kesukaan pada pelanggaran undang-undang ini apabila beliau menyatakan bahawa;
- “Di Malaysia, walaupun hukuman mati sekalipun (dikenakan), pengguna jalan raya akan tetap melanggar undang-undang.”
- Antara si pelaku kesalahan itu juga adalah segelintir pemimpin politik – yang sepatutnya menunjukkan kepimpinan melalui teladan, dengan mematuhi undang-undang agar menjadi contoh kepada orang lain.”
- Di Malaysia, hukuman mati sekalipun, dia orang tak kisah, dah sikap mereka langgar undang-undang. Sikap ini yang kena betulkan.”
- Polis menggerakkan pelbagai cara untuk menyedarkan orang ramai, namun mereka tetap melanggar undang-undang semasa di jalan raya.
- “Sampaikan kita terpaksa melakukan ujian air kencing terhadap pemandu kenderaan awam bagi memastikan mereka bebas (daripada) mengambil dadah”.
- Penunggang motosikal pula gemar memotong kenderaan lain sesuka hati manakala pemandu kenderaan berat pula tidak menghormati orang lain.
- “Saya rasa masyarakat kita ini seronok kalau tak patuh undang-undang.”
Malahan beliau turut meminta ibu bapa supaya menerapkan pematuhan undang-undang kepada anak-anak mereka termasuk semasa di jalan raya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyebutkan tentang perlunya pelaksanaan kaedah pemantauan menyeluruh yang lebih berkesan dan tindakan penguatkuasaan yang menimbulkan perasaan takut dalam kalangan pengguna jalan raya sebagai langkah mendepani pengguna jalan raya yang cuai dan melanggar undang-undang sedia ada. Langkah alternatif membatalkan lesen memandu dan menjatuhkan hukuman segera kepada pesalah lalu lintas juga perlu dipertimbangkan.
Tun Dr. Mahathir Mohamad pula menyebutkan tentang hukuman berat sebagai pengajaran – dengan menggantung (menarik) lesen memandu bagi tempoh sekurang-kurangnya 3 tahun, dan hukuman lain yang lebih berat jika yang dibatalkan lesennya mengingkari hukuman itu. Cadangan NGO supaya pemandu yang bersalah dikenakan hukuman khidmat masyarakat yang disusuli oleh kursus pemanduan semula juga wajar diberikan perhatian.
(ii)
Berdasarkan pernyataan umum pelbagai pihak, kita dapat memahami perihal kemalangan jalan raya di Malaysia seperti berikut:
- Punca kemalangan jalan raya yang utama ialah sikap pengguna jalan raya (tidak mematuhi undang-undang);
- Pemandu kenderaan berat, pengangkutan awam (terutamanya bas) dan motosikal paling tidak berdisiplin berbanding pemandu kenderaan lain;
- Punca lain – keadaan kenderaan dan keadaan jalan raya itu sendiri;
- Terdapat 377 lokasi berbahaya yang telah dikenalpasti di seluruh negara sebagai lokasi kemalangan jalan raya paling kerap;
- Jalan persekutuan terbukti menyumbangkan kadar kemalangan lebih tinggi berbanding lebuh raya, jalan negeri dan jalan lainnya.
(Apakah langkah yang telah diambil pihak berkuasa di lokasi berkaitan, selain PDRM, JPJ & MKJR, dalam menangani kemalangan di jalan persekutuan ?);
- Kerajaan memang telah melakukan “yang terdaya” dalam upaya membanteras kemalangan jaran raya melalui usaha bersepadu kaedah perundangan, kempen demi kempen dan langkah penguatkuasaan undang-undang melalui PDRM, JPN dan MKJR;
- Pemandu kenderaan akan berdisiplin di jalan raya hanya apabila ada operasi pemantauan pihak berkuasa.
(Nota : kehadiran polis trafik dan anggota biasa polis di 377 lokasi dikenalpasti cenderung berlaku kemalangan mampu mengurangkan kadar kemalangan di kawasan tersebut, namun meningkat di kawasan lain yang kurang diberikan tumpuan – kenyataan Ketua Polis Trafik Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof).
(iii)
Apabila Ketua Polis Negara turut meminta ibu bapa supaya menerapkan pematuhan undang-undang kepada anak-anak mereka termasuk semasa di jalan raya, kita tidak dapat mengelak daripada mengaitkannya dengan peranan pendidikan – formal dan tidak formal. Sekolah juga berperanan dalam membantu menjayakan misi penerapan nilai pematuhan pada undang-undang.
Soalnya bagaimana?
Sejak berpuluh tahun lalu, kita telah menyaksikan fenomena kesukaan pada pelanggaran undang-undang di jalan raya ini.
Pergilah ke seluruh pelusuk kampung dan taman perumahan di negara kita – kita telah lali dengan pemandangan pemandu motosikal tanpa mengira usia tidak bertopi keledar, atau pemandu (semua jenis kenderaan) tanpa mengira usia begitu selesa meredah masuk laluan sehala (No Entry). Dan sebahagian besarnya juga tanpa lesen memandu yang sah, dengan kenderaan tanpa insurans dan tanpa cukai jalan yang melayakkan kenderaan itu berada di atas jalan raya.
Mereka ini adalah ibu bapa, abang dan kakak kepada murid-murid sekolah. Mereka ini adalah juga murid-murid sekolah yang diberikan ‘lesen memandu’ oleh ahli keluarga mereka sendiri.
Kita juga boleh memantau keadaan penggunaan kenderaan oleh murid-murid ke sekolah. Mereka berkenderaan ke sekolah tanpa helmet, tanpa lesen memandu, dan dengan kenderaan tanpa cukai jalan. Dapatan soal-selidik guru-guru turut membuktikan bahawa sebilangan ibu bapa merestui tindakan anak-anak mereka ini atas alasan kesukaran mendapatkan pengangkutan awam atau desakan kuat anak-anak untuk membawa kenderaan sendiri ke sekolah. Mereka rela meletakkan kenderaan di luar premis sekolah kerana pihak sekolah terpaksa tidak membenarkan mereka yang tidak layak memandu ini meletakkan kenderaan mereka di dalam kawasan sekolah kerana kegagalan mematuhi undang-undang ini!
Jadi kenyatan Ketua Polis Negara tidaklah menghairankan sangat kerana mereka yang menjadi pengguna jalan raya sebagai pemandu motosikal dan pemandu kenderaan berat ini (juga apa saja kenderaan) sebenarnya sudah amat terbiasa dan selesa dengan tabiat tidak mematuhi undang-undang di jalan raya. Ini amalan warisan mereka.
Isunya bukan setakat mereka tidak terdidik (atau tidak mahu dididik) untuk menjadi pemandu berhemah. Isunya bukan setakat mereka telahpun memiliki “lesen membunuh” di jalan raya sejak kecil lagi.
Isunya juga ialah pengguna jalan raya ini terlalu memerlukan pemantauan dan penguatkuasaan berterusan sepanjang masa.
Isunya juga ialah di manakah pemantauan dan penguatkuasaan ketika mereka baru berjinak-jinak dengan kesukaan melanggar undang-undang ini.
Isunya juga ialah apakah yang dipelajari di pusat belajar memandu sehingga ilmu diajarkan seolah-olah tidak sempurna.
Isunya juga ialah di manakah percontohan, autoriti, sensitiviti dan kebijaksanaan ibu bapa dalam menangani pola perlakuan sumbang anak-anak mereka sendiri ketika di jalan raya.
Jadi isunya ialah bagaimana mendepani semua isu ini.
Semoga dapat diupayakan pendekatan ke arah “merevolusikan” daya fikir, daya rasa dan sensitiviti pengguna jalan raya kita supaya kembali siuman di jalan raya – seronok kerana mematuhi undang-undang !


